suria

Pas kerja disekat, dihalang guna kemudahan syarikat... Editor terkejut dipaksa jalani latihan di bilik gelap sendirian

Pekerja boleh mengalami tekanan emosi akibat persekitaran pejabat yang tidak baik. -Gambar hiasan

SEBUAH syarikat di China didakwa mengurung seorang pekerjanya di sebuah bilik kecil selama empat hari, dalam usaha kejam untuk membuatnya meletak jawatan.

Bukan itu sahaja, bilik tersebut hanya dilengkapi sebuah kerusi dan meja selain berada dalam keadaan gelap gelita tanpa sebarang sumber pencahayaan.

Insiden itu terbongkar selepas syarikat terbabit, Guangzhou Duoyi Network Co. Ltd, mencabar keputusan mahkamah mengenai kes tersebut.

Firma itu turut menerbitkan dokumen penuh mahkamah di akaun Weibo rasminya, secara terbuka tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat pada Mei oleh mahkamah peringkat daerah di wilayah Sichuan, China.

Ia berikutan, mahkamah memutuskan bahawa anak syarikat Guangzhou Duoyi Network di Sichuan perlu membayar pekerja, Liu Linzhu, 380,000 yuan (RM245,913) sebagai pampasan atas tindakan mereka.

Bagaimanapun, laman web rasmi mahkamah masih belum membuat rekod perbicaraan awam, namun peguam Liu mengesahkan kesahihan dokumen mahkamah yang diterbitkan.

Terdahulu, kisah itu mula terbongkar pada Disember 2022 apabila Liu mendapati dia tidak boleh log masuk ke sistem komputer syarikat atau menggunakan pas masuknya.

Ini berlaku berikutan rundingan yang berlarutan berhubung peletakan jawatannya.

Firma itu memberitahu Liu bahawa dia dikehendaki mengambil bahagian dalam 'latihan' dan membawanya ke bilik di tingkat yang berbeza daripada stesen kerjanya yang biasa.

Selain berada dalam keadaan gelap kerana tiada bekalan elektrik, dia juga tidak mempunyai rakan sekerja dan komputer, selain hanya dilengkapi dengan meja dan kerusi.

Lebih empat hari, walaupun Liu dibenarkan keluar dari bilik dengan bebas, termasuk pulang ke rumah selepas 'kerja', dia tidak diberi tugas manakala telefon bimbitnya dirampas.

Hanya pada hari kelima, selepas isteri Liu melaporkan layanan syarikat terhadap suaminya kepada polis, satu notis rasmi untuk memberhentikannya dikeluarkan.

Dalam usaha untuk mengelak daripada membayar pampasan, Guangzhou Duoyi Network menegaskan pemberhentian itu adalah kerana Liu telah melanggar dasar syarikat.

Dia dituduh melihat imej bogel dan melayari laman web yang tidak berkaitan semasa waktu bekerja.

Bagaimanapun, sebagai editor seni permainan, Liu berhujah bahawa imej yang dilihatnya adalah untuk tujuan kerja dan mahkamah rendah bersetuju dengan jawapannya.

Lantas, mahkamah memutuskan bahawa mengurung Liu ke dalam 'bilik gelap' adalah menyalahi undang-undang di bawah Undang-undang Kontrak Buruh, yang mewajibkan majikan menyediakan syarat kerja yang sesuai untuk pekerja. - South China Morning Post

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain