suria

Israel ‘dihantui’ demam West Nile, catat angka kematian 32 kes

Demam West Nile menjangkiti manusia melalui gigitan nyamuk. -Gambar hiasan

KEMENTERIAN Kesihatan Israel melaporkan peningkatan kes demam West Nile pada Isnin, dengan mengesahkan 35 jangkitan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 440 kes, lapor Xinhua.

Ini melepasi rekod tahunan yang pernah direkodkan pada 2000 iaitu 425 kes, menurut Pusat Penyelidikan dan Maklumat negara berkenan.

Jumlah kematian akibat penyakit itu juga meningkat kepada 32 kes, setakat Isnin.

Kementerian mengaitkan wabak itu disebabkan iklim wilayah yang lebih panas dan lembap, yang mewujudkan situasi ideal untuk nyamuk, pembawa utama virus tersebut.

Bagaimanapun, kementerian juga mengakui kemungkinan faktor persekitaran lain yang tidak dikenal pasti menyumbang kepada lonjakan luar biasa itu.

Kementerian dalam pada itu menyatakan ketidakpastian tentang faktor khusus yang mendorong kepada penularan penyakit tersebut.

Demam West Nile yang menjangkiti manusia melalui gigitan nyamuk, biasanya mengakibatkan simptom seperti selesema, sakit kepala, demam, sakit otot dan sendi, konjunktivitis, ruam, dan ada kalanya loya atau cirit-birit.

Kira-kira satu daripada 150 individu yang dijangkiti akan mengalami simptom yang lebih teruk yang memberi kesan kepada sistem saraf pusat, meningitis, kemungkinan lumpuh, kerosakan otak, dan juga kematian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain