SEORANG mahasiswi di Jambi, Indonesia maut selepas nekad terjun dari tingkat 12, bangunan sebuah bank, dalam kejadian yang berlaku pada Ahad malam. Memetik laporan Detik, Ketua Polis Daerah Telanaipura, AKP Harefa berkata, mangsa yang hanya dikenali sebagai SAS, 21, pelajar semester akhir sebuah institusi, datang seorang diri ke kafe yang terletak di tingkat 12 bangunan tersebut. "Sekitar jam 7.20 malam, mangsa datang bersendirian menaiki motosikal dan kemudian naik ke tingkat 12 bangunan Bank Mahligai 9 Jambi... lebih tepatnya di Kafe Rindu Senja," kata Harefa pada Isnin. Di kafe tersebut, kata Harefa, SAS duduk bersendirian dan kelihatan resah seperti yang dilihat dalam rakaman CCTV yang diperoleh polis. Kejadian tersebut disedari selepas seorang pekerja kafe yang dalam perjalanan pulang ke rumah menemui mangsa terbaring di hadapan bangunan berkenaan, sebelum melaporkannya kepada pihak keselamatan. Pihak keselamatan kemudian segera melaporkan kejadian itu kepada polis. Siasatan polis mengesyaki mangsa mengalami kemurungan. Ia adalah hasil pemeriksaan sejarah pelayaran (history) telefon bimbitnya yang menemui 'cara untuk membunuh diri'. Tambahnya, keluarga mangsa menolak untuk melakukan bedah siasat ke atas mayat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube