suria

Sanggup ulang-alik 320km ke pejabat setiap hari, lelaki akui demi cinta pada isteri

Tangkap layar video perjalanan yang dikongsikannya.

DEMI cinta dan sayang terhadap isteri, seorang lelaki sanggup ‘ulang-alik’ ke tempat kerja sejauh 320 kilometer setiap hari.

Video yang disiarkan Lin Shu, 31, mengimbas kembali perjalanan hariannya yang digelar sebagai "jarak ulang-alik terpanjang".

Lin bangun pada pukul 5 pagi dan meninggalkan rumahnya di Weifang, wilayah Shandong di timur China pada pukul 5.20 pagi.

Dia yang baru mendirikan rumah tangga pada Mei lalu, akan menunggang e-basikal selama 30 minit ke stesen untuk menaiki kereta api pada pukul 6.15 pagi, tiba di Qingdao di bahagian timur Shandong pada 7.46 pagi, dan akhirnya mengambil perjalanan kereta api bawah tanah selama 15 minit ke pejabatnya.

Dia juga mempunyai masa yang cukup untuk bersarapan pagi di kantin pejabatnya sebelum memulakan kerja pada pukul 9 pagi.

Selepas habis waktu bekerja, Lin akan mengambil masa tiga hingga empat jam untuk pulang ke rumahnya, sejauh 160 kilometer.

Perkongsiannya itu membuatkan warga maya terkejut selepas mengetahui jumlah masa yang ‘dikorbankan’ sepanjang perjalanan.

Bagaimanapun, dia memaklumkan perkara tersebut sanggup dilakukan demi cinta.

Tambah Lin, isterinya berasal dari Weifang di wilayah Shandong dan pasangan itu membeli sebuah flat di sana supaya pasangannya boleh ‘rasa selamat’. - South China Morning Post

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain