suria

Derita pelajar PhD, dipaksa 'bekerja' 18 jam sehari selepas ajakan seks ditolak... Mujur ada bukti rakaman suara profesor miang

Pelajar wanita sering menjadi mangsa gangguan seksual di universiti. -Gambar hiasan

SEORANG profesor di Universiti Renmin China yang berprestij telah dipecat selepas salah seorang pelajar PhDnya mengaku menjadi mangsa seksual.

Wang Guiyuan, 65, seorang profesor di Sekolah Seni Liberal, dituduh secara dalam talian mengganggu pelajarnya secara seksual, dan mengancam untuk menghalang pengijazahannya selepas dia menolak ajakan seks.

Pada 21 Julai, Wang Di menyiarkan video berdurasi satu jam dengan dirinya memegang kad pengenalannya untuk melaporkan tingkah laku tutornya.

Pendedahan yang dilakukan itu turut disokong dengan bukti rakaman suara.

Wang berkata, dia terpaksa mendedahkan ahli akademik itu kerana profesor terbabit membuat dia bekerja 18 jam sehari dengan melakukan kerja-kerjanya.

Ekoran daripada itu, dia tidak mempunyai masa untuk menyiapkan tugasan tamat pengajiannya sendiri, yang dijadualkan pada bulan Disember.

Menurut Wang, dia juga pernah merayu ahli akademik terbabit untuk membenarkannya menamatkan pengajian namun malangnya perkara tersebut ditolak.

“Kamu ini pelajar jenis apa, tidak berbuat baik sedikit pun kepada tutor kamu? Anda tunggu dan lihat," kata ahli akademik itu.

Bukan itu sahaja, ujar Wang Di, dia diberikan tugasan mencabar dan komen negatif daripada ahli akademik terbabit selama dua tahun selepas menolak permintaan untuk melakukan hubungan seks.

Terdahulu, pada Mei 2022, Wang Guiyuan menjemput Wang Di ke pejabatnya untuk membincangkan soalan akademik.

Sejurus tiba di pejabat, tutornya menanggalkan baju dan bertanya sama ada 'badan saya kelihatan cergas'.

Dia juga meminta untuk mencium dan menyentuh tubuh Wang Di sebelum menuntut hubungan seks. - South China Morning Post

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain