SEORANG bayi perempuan berusia dua bulan maut akibat kecederaan parah di kepala selepas dihempas ke tanah, pada Ahad. Kejadian di wilayah utara Chiang Rai, Thailand itu berlaku ketika ibu mangsa yang dikenali sebagai Chanikarn sedang menjemur pakaian. Menceritakan semula kejadian, ujar wanita berusia 20 tahun itu, dia tiba-tiba didatangi jiran lelaki, Lee Saeyang yang memintanya melakukan hubungan seks. Mengakui terkejut, dia kemudiannya menolak permintaan lelaki berusia 40 tahun itu. Susulan daripada itu, Lee Saeyang mengugut dan mengancam akan membunuh anaknya jika permintaan untuk melakukan hubungan seks tidak ditunaikan. Meskipun takut dengan ugutan berkenaan, Chanikarn sekali lagi menolak ajakan jirannya sebelum lelaki terbabit meluru masuk ke dalam rumah dan meraih kaki bayi, lalu melemparkannya ke tanah. Dalam pada itu, pegawai polis dari Balai Polis Wiang Kaen mengesahkan kejadian dan menahan Lee Saeyang di rumahnya yang terletak bertentangan dengan rumah mangsa. Semasa soal siasat, Lee mengaku melakukan pembunuhan kejam dan cubaan merogol kerana telah lama menyimpan perasaan terhadap Chanikarn. Tambahnya, Lee Saeyang didakwa dengan sengaja membunuh dan akan menerima hukuman mati atau penjara seumur hidup, atau penjara 15 hingga 20 tahun mengikut Seksyen 288 Undang-undang Jenayah. - Thaiger Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube