suria

Cincin kahwin hilang ketika bawa bendera Itali, atlet lompat tinggi minta maaf pada isteri

Gianmarco Tamberi yang merupakan bendera kontinjen Itali memohon maaf kepada isteri kerana cincinnya tercicir. Foto kiri Reuters/Aleksandra Szmigiel

ATLET lompat tinggi, Gianmarco Tamberi pada Sabtu memohon maaf kepada isterinya selepas cincin perkahwinannya terlucut dari jarinya ketika dia menggalas tanggungjawab sebagai pembawa bendera kontinjen Itali di atas bot ketika upacara perasmian Sukan Olimpik Paris 2024, di Sungai Seine, Paris.

"Terlalu banyak air, terlalu banyak kilogram (kg) hilang sejak beberapa bulan kebelakangan ini atau mungkin keghairahan yang tidak dapat dihalang daripada apa yang kami lakukan.

"Mungkin ketiga-tiga perkara itu, hakikatnya saya merasakannya (cincin saya) terlepas, saya melihatnya terlucut. Saya mengikutinya dengan pandangan sehingga saya melihatnya melantun di dalam bot," tulis Tamberi.

Tamberi yang memenangi emas di Sukan Olimpik Tokyo yang lalu berkata demikian menerusi satu hantaran di Instagram yang ditujukan kepada isterinya, Chiara Bontempi Tamberi.

Tamberi berkata, cincin perkahwinannya kemudian melantun dan jatuh ke Sungai Seine dalam apa yang disifatkannya sebagai 'beberapa saat yang kekal selama-lamanya.'

"Tetapi jika ia benar-benar perlu berlaku, jika saya benar-benar terpaksa kehilangannya, saya tidak dapat membayangkan tempat yang lebih baik. Ia akan kekal selama-lamanya di dasar sungai di Kota Cinta," tambah Tamberi.

Menurut Tamberi, insiden itu akan menjadi alasan untuk memperbaharui ikrar dan berkahwin semula, serta mungkin menjadi pendorong untuk memperoleh kejayaan pada Sukan Olimpik.

"Semoga ia menjadi petanda yang baik untuk pulang dengan emas yang lebih baik!" katanya lagi. -Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain