GARA-GARA meninggalkan kekasih yang baru dikenali selama dua hari di sebuah unit kondominium miliknya, seorang wanita kerugian kira-kira RM6,300 (50,000 baht) selepas wang itu lesap bersama lelaki terbabit. Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di daerah Bangkapi, Thailand. Memetik laporan Thaiger, dia yang dikenali sebagai Warissara berkata, pada hari kejadian, dia telah meninggalkan kekasihnya bersendirian di kondominium tersebut pada pukul 12.20 pagi kerana keluar bertemu rakan. Sekembalinya pada pukul 3 pagi, dia yang baru berusia 18 tahun mendapati rumahnya tidak dikunci. Susulan daripada itu, dia bergegas memeriksa wang tunai yang disimpan di dalam almari bajunya dan mendapati sejumlah 50,000 baht hilang. Panik dengan situasi berkenaan, dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Hua Mark. Pada masa sama, dia mendakwa jumlah keseluruhan wang tunai yang disimpan di dalam almari baju tersebut adalah 90,000 baht atau kira-kira RM11,364. Lebih memilukan apabila, dia bukan sahaja tidak mengetahui nama penuh kekasihnya itu, malah lelaki terbabit enggan menjawab panggilan yang dibuat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube