suria

Tragis! Suami bunuh isteri beberapa jam selepas kahwin, saudara sempat curi dengar pergaduhan dalam bilik

Tragedi berdarah pasangan ini meraih perhatian di media sosial.

JODOH pasangan mempelai ini hanya bertahan selama beberapa jam setelah selamat disatukan.

Malah lebih menyayat hati apabila si isteri turut kehilangan nyawa apabila pasangan berkenaan terlibat dalam satu pertengkaran yang serius di daerah Kolar, negeri Karnataka, India pada 7 Ogos.

Mangsa merupakan seorang remaja perempuan dikenali sebagai Likitha, 19, yang berkahwin dengan suspek dikenal pasti sebagai Naveen berusia 27 tahun.

Pihak berkuasa berkata kejadian berlaku sekitar pukul 6 petang waktu tempatan iaitu pada hari sama Likitha dan Naveen berkahwin.

“Perkahwinan pasangan itu diadakan di dewan kampung Chambarasabahalli. Selepas majlis selesai, mereka meluangkan masa dengan keluarga di rumah bapa saudara Naveen," ujar seorang anggota polis tempatan.

Ketika di kediaman terbabit, Naveen dan Likitha dihidangkan air minuman, namun beberapa minit kemudian mereka memasuki sebuah bilik dan terus menutup pintu.

Seketika kemudian kedengaran pasangan itu menjerit antara satu sama lain dengan nada yang marah.

Saudara-mara yang di luar terkejut mendengar pergaduhan itu dan lantas memeriksa keadaan pasangan berkenaan menerusi tingkap bilik.

Sungguh tidak disangka apabila Naveen dilihat menyerang Likitha dengan menggunakan sebilah parang.

Apabila pintu berjaya dibuka, Likitha sudah terbaring berlumuran darah manakala Naveen turut mengalami kecederaan kerana cuba membunuh diri dengan menggunakan senjata sama.

Likitha digegaskan ke hospital untuk menerima rawatan segera namun meninggal dunia sehari selepas kejadian, manakala Naveen pula berada dalam keadaan kritikal.

Pihak polis setakat ini masih menyiasat punca pergaduhan pasangan itu. - The Indian Express

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain