SEORANG bapa sanggup menyeksa tiga anaknya dan merakam perbuatan tersebut untuk mengugut isteri yang sedang bekerja sebagai buruh di luar negara. Ia berikutan dia mengesyaki wanita terbabit curang dan menjalinkan hubungan dengan lelaki lain ketika berada di perantauan. Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Cianjur, Indonesia. Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Cianjur, AKP Tono Listianto berkata, beberapa rakaman video tular memaparkan kanak-kanak berumur empat tahun dan kembar berusia setahun itu dihempas serta dicekik oleh bapa mereka yang berusia 34 tahun. Susulan itu katanya, suspek ditahan bagi membantu siasatan lanjut. "Kita menerima laporan pada Jumaat lalu sebelum membuat pemeriksaan lanjut dan menahan suspek," ujarnya pada Selasa. Tambah Tono, hasil pemeriksaan, suspek mengakui jenayah tersebut dilakukan kerana cemburu dengan isterinya dan mengesyaki wanita terbabit curang ketika di perantauan. Malah katanya, rakaman video yang memaparkan ketiga-tiga anaknya didera dihantar untuk mengugut isterinya. Dalam pada itu, Tono memaklumkan, ketiga-tiga mangsa mengalami trauma fizikal akibat kejadian yang berlaku dan suspek berdepan penjara sembilan tahun jika disabit kesalahan. -Okezone Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube