SEORANG lelaki berusia 27 tahun ditahan polis atas tuduhan cubaan membunuh isterinya dengan menyimbah dengan alkohol dan membakarnya. Perkara itu disahkan polis yang menerima laporan berhubung kejadian tersebut. Kejadian berlaku di daerah Bang Khae, Bangkok kira-kira jam 1.30 tengah hari, 22 Ogos lalu. Pada Ahad, Timbalan Komander Divisyen 9 Polis Metropolitan, Mejar Jeneral Polis Prasong Anomanee mengesahkan penahanan suspek di bawah waran yang dikeluarkan oleh mahkamah jenayah Thonburi pada 24 ogos lalu. Dalam kejadian itu, suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal selepas menyimbah alkohol ke atas kepala isterinya, sehingga menyebabkan wanita itu terbakar. Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan badan, dan kini dalam keadaan kritikal di hospital. Siasatan awal mendapati motif serangan berpunca daripada cinta tiga segi melibatkan suspek, isteri dan abangnya sendiri. Suspek kemudian ditahan di Terminal Bas Selatan di Bangkok. Ketika disoal siasat, suspek mengaku bertindak sedemikian kerana didorong oleh kemarahan dan cemburu terhadap kecurangan isterinya bersama abangnya. Memetik laporan KhaoSod, dia kini ditahan untuk tindakan undang-undang selanjutnya. Sebagai peringatan, perbuatan keganasan adalah salah di sisi undang-undang dan dilarang dalam Islam, maka semua perlu menjauhinya. -Thaiger Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube