suria

Aneh! Budak hilang seiras wajah anak, ekspresi pun sama... Wanita bimbang embrio prosedur IVF disalahguna

Wanita dakwa budak hilang mempunyai kaitan biologi dengannya.

ORANG dulu sering menyebut 'dalam dunia mempunyai tujuh individu berwajah seiras'.

Bagaimanapun, hantaran terkini yang dibuat seorang wanita mencetuskan kebimbangan apabila dia bukan sahaja menemukan seorang kanak-kanak yang berwajah seiras anaknya, malah terdapat persamaan yang ketara.

Malah wanita yang berasal dari Shanghai China itu mempersoalkan sekiranya embrio yang disimpan ketika menjalani persenyawaan in vitro (IVF) telah disalahgunakan sebuah hospital.

Tindakannya itu berikutan pada 13 Ogos lalu, dia melihat satu rakaman video yang memaparkan seorang kanak-kanak hilang di stesen kereta api dan cuba mencari ibu bapanya.

“Rakan saya bertanya sama ada saya kehilangan anak. Ia benar-benar mengejutkan saya.

"Gadis kecil ini benar-benar kelihatan seperti anak perempuan saya, malah ekspresinya juga sama," katanya.

Memandangkan anak perempuannya dilahirkan melalui IVF dan embrio tambahan disimpan di hospital untuk anak kedua yang berpotensi, dia berpendapat mungkin terdapat kesilapan atau embrionya telah disalahgunakan.

Terdahulu, dia menjalani prosedur IVF pada Mei 2018 di sebuah hospital di Shanghai, membelanjakan kira-kira 70,000 yuan yang dianggarkan RM42,685, termasuk pengambilan semula telur berganda dan implantasi embrio.

"Apabila melakukan IVF, mereka tidak hanya mengambil satu telur. Mungkin ada kesilapan di mana telur saya diberikan kepada orang lain, atau mungkin doktor membuat kesilapan.

"Kami tidak berani menuduh hospital melakukan salah laku tanpa bukti, tetapi jika terdapat pelanggaran, kami perlu menanganinya," ujarnya bimbang.

Dalam pada itu, wanita ini mengakui telah cuba menghubungi keluarga kanak-kanak terbabit untuk melakukan ujian DNA bagi melihat sama ada terdapat kaitan biologi.

Bagaimanapun, percubaannya melalui penulis blog yang menyiarkan video tersebut tidak dapat dilakukan kerana butiran hubungan tidak disimpan. - South China Morning Post

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain