suria

Anak buat onar dalam kapal terbang, mak pun sama naik! Selamba minta tempat duduk kelas pertama

Wanita terbabit turut membuat bising selepas ditegur pramugari.

TINGKAH laku anak merupakan cerminan kedua-dua orang tuanya.

Menerusi video tular terkini, seorang kanak-kanak lelaki didapati menangis dan memberontak di laluan kabin kerana terpaksa duduk dalam keadaan yang sempit ketika menaiki kapal terbang.

Tindakannya itu menyebabkan penerbangan domestik dari Chongqing, China pada 15 Ogos lalu tergendala selama satu jam.

Memetik laporan South China Morning Post, ibu kanak-kanak terbabit juga tidak mengendahkan permintaan kru kabin yang memintanya mengawal anak daripada terus membuat bising dan kembali ke tempat duduk.

Malah dia dengan lantang meminta supaya mereka ditempatkan di ruang kelas pertama bagi mengelakkan situasi berterusan.

“Ada tempat duduk kosong. Kenapa awak tidak benarkan kami duduk di sini?” kata wanita itu dalam video yang tular di media sosial.

Berdasarkan klip berkenaan, pihak kru kabin cuba memujuk anak beranak terbabit namun keduanya tetap berdegil sehingga mencetuskan kemarahan penumpang yang lain.

Susulan itu, kedengaran suara salah seorang penumpang yang meminta mereka dibawa turun dari pesawat supaya tidak mengganggu masa perjalanan.

Bagaimanapun, video tular itu tidak memaparkan tindakan ke atas wanita terbabit mahupun mendedahkan nama syarikat penerbangan.

Tingkah laku wanita terbabit turut menarik perhatian warga maya sehingga ramai meninggalkan komen kecaman terhadapnya.

“Penjara mempunyai banyak kekosongan. Dia boleh duduk di sana.

“Bukan salah anak. Didikan ibu bapa adalah isu, dia harus bertanggungjawab sepenuhnya atas kesulitan yang dialami penumpang lain.

“Para pramugari tidak melakukan kerja yang baik dalam menangani gangguan itu. Selain itu, syarikat itu tidak mengeluarkan kenyataan menjelaskan kepada penumpang mengapa penerbangan ditangguhkan atau menawarkan pampasan kepada mereka,” kata beberapa warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain