SEORANG pemandu bas persiaran di Singapura menjadi mangsa kemarahan warga maya selepas video dia mengusir sekumpulan pelancong China tular di media sosial. Tindakannya itu dipercayai kerana pelancong terbabit enggan membeli lebih banyak cenderamata yang dijual di lokasi yang ditetapkan. Perbalahan antaranya dan pelancong itu dirakam pada 16 Ogos dan disiarkan oleh salah seorang ahli kumpulan itu. Menurut pelancong terbabit, pemandu yang tidak dikenali itu meminta mereka membeli cenderahati seperti rantai kunci dan minyak wangi sebelum tiba-tiba mengamuk kerana mendapati jumlah pembelian sedikit. Lebih mengejutkan apabila pemandu terbabit juga tidak membenarkan salah seorang pelancong mengambil ubat tekanan darah dari dalam bas selepas makan tengah hari sambil berkata: "Tiada apa-apa untuk orang China yang tidak membelanjakan wang." Dia juga bertindak menutup pintu bas persiaran tersebut. Susulan tindakan berkenaan, kumpulan pelancong menuntut permohonan maaf daripadanya. Walaubagaimanapun, dia tetap berkeras sambil mengarahkan mereka turun dari bas dan menyebabkan kesemua pelancong terkandas di kaki lima Jalan Balapan Lumba yang sibuk. Terdahulu, kumpulan pelancong itu telah menempah lawatan mereka ke Singapura, Malaysia dan Thailand dengan sebuah syarikat China, tetapi apabila mereka tiba, mereka menyedari tempahan telah diserahkan kepada agensi tempatan, dan dijangka berkongsi bas dengan kumpulan lain. - South China Morning Post Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube