SEORANG remaja perempuan berusia 14 tahun maut selepas dilanggar kereta api di Cikarang Utara, Indonesia, pada petang Selasa. Mangsa yang dipercayai mengalami tekanan perasaan ditemukan dalam keadaan menyayat hati dengan badannya terputus dua. Menurut saksi kejadian yang ingin dikenali sebagai Fauzi, mangsa yang membawa beg kecil pada awalnya berdiri di platform berhampiran rel kereta api berkenaan. Namun selepas melihat gerabak menghampiri, dia tiba-tiba melompat ke arah rel seterusnya dilanggar kereta api. "Dia berdiri je di platform... tapi selepas nampak kereta api, dia terus melompat ke arahnya. Saya tak jangka kalau dia nak bunuh diri," ujarnya yang berusia 40 tahun. Fauzi turut menyatakan, orang ramai menjumpai sepucuk surat yang ditujukan kepada ibu mangsa. Menurutnya, mangsa memohon maaf kepada ibunya kerana menjadi beban keluarga dan berharap dikebumikan bersebelahan kubur ayahnya yang baru meninggal dunia. "Saya Neng Putriyan. Saya tinggal di Pom Bensin, tolong sesiapa pun yang menjumpai surat ini untuk sampaikan kepada ibu saya Mulyanah. "Mak maafkan saya sebab tak dapat jadi anak baik untuk mak, selalu menyusahkan mak... untuk hari ini (Selasa) saya tak dapat pulang ke rumah mak, saya nak ikut ayah. "Tetapi ayah dah meninggal, jadi saya menyusul ya mak. Maafkan saya, mak tak perlu fikirkan saya lagi. Saya sayang mak. Saya harap dapat dikebumikan bersebelahan kubur ayah," coretnya sambil meninggalkan nombor telefon kekasihnya. Sementara itu, keluarga mangsa yang ditemukan di lokasi tidak menahan rasa pilu. Malah mereka menyatakan bahawa mangsa tidak pernah berkongsikan masalah yang dihadapi. - Berita Cikarang Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube