JENAMA iPhone terus menjadi 'kegilaan' generasi muda masa kini sehingga ada yang sanggup menjual buah pinggang mahupun melakukan kerja sambilan bagi memperolehnya. Terkini, seorang remaja India tular di media sosial selepas dia mengakui telah mogok lapar selama tiga hari demi memperoleh peranti mewah itu. Ia berikutan rakaman video dari pemilik kedai gajet itu dikongsikan wartawan India Abhishek di X dengan kapsyen "video ini menyedihkan" sehingga mendapat perhatian warga maya. Menerusi klip yang dipaparkan, remaja terbabit didapati mendesak ibunya untuk membeli telefon berjenama itu meskipun mengetahui keadaan keluarga yang naif dan miskin. Lebih memilukan apabila ibunya hanya mencari rezeki dengan menjual bunga di luar kuil. "Saya menjual bunga di luar kuil dan saya memberinya wang untuk membeli telefon kerana dia tidak makan apa-apa selama tiga hari. “Saya gembira tetapi saya mahu dia memperoleh pendapatan dan membawa balik wang itu," kata ibunya dalam video tular itu. Menjengah ke ruangan komen, warga maya meluahkan rasa geram dan marah terhadap remaja terbabit yang tidak prihatin dengan keadaan ibunya. "Menghabiskan wang sebanyak ini untuk telefon (iPhone) apabila anda tidak bekerja, manakala ibu anda bekerja keras dengan menjual bunga, tidak masuk akal. “Ibunya berputus asa kerana mogok lapar. saya tak tahu nak cakap apa. Video ini menghancurkan hati saya," ujar beberapa warga maya. - Oddity Central Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube