suria

Hasrat hilangkan ketagihan alkohol berakhir tragedi, warga emas nyaris maut minum 'tonik' herba

Pasukan perubatan hadir bagi membantu merawatnya.

SEORANG lelaki warga emas dikejarkan ke hospital selepas mengalami masalah kesihatan kronik akibat pengambilan ramuan tradisional bagi menghilangkan ketagihan alkohol.

Thongdaeng, 62, ditemukan dalam keadaan kaku seolah-olah terkena serangan angin ahmar pada Selasa sejurus menikmati ramuan yang diperbuat daripada tumbuhan dikenali kecubung (datura metel).

Kejadian dilaporkan berlaku di Maha Sarakham, Thailand.

Menurut sukarelawan perubatan, Sunisa Duangkamchan, pasukannya menerima panggilan daripada pusat kecemasan yang menyatakan terdapat pesakit yang menunjukkan gejala keletihan dan kekeliruan yang melampau.

Sejurus tiba, ujarnya, pesakit didapati berada dalam keadaan membimbangkan dengan keadaan mata dan kulit kemerahan selain menunjukkan tingkah laku seperti mangsa strok.

Tambah Sunisa, selepas pertolongan cemas awal dilakukan, mangsa dipindahkan ke Hospital Maha Sarakham untuk rawatan segera.

Sementara itu, adik mangsa ketika ditemui menyatakan, abangnya diberikan ramuan tradisional berasaskan pokok kecubung selepas disarankan beberapa jiran kerana ingin mengurangkan ketagihan alkohol. - Thaiger

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain