suria

Ajal ketika hari lahir... Remaja lemas terjatuh dalam terusan ketika melarikan diri, rakan dedah kronologi kejadian

Lokasi kejadian di mana mangsa terjatuh dan lemas. -Foto Chiang Mai News

SEORANG remaja lelaki berusia 16 tahun dari Chiang Mai, Thailand mati lemas akibat terjatuh dalam terusan, dipercayai ketika sedang melarikan diri daripada sekumpulan penyerang.

Lebih tragis, mangsa yang dikenali sebagai Weeraluck, menemui ajal ketika hari ulang tahun kelahirannya.

Difahamkan, keluarga remaja berkenaan membuat laporan polis pada Selasa lalu mengenai kehilangannya.

Menurut salah seorang rakan mangsa yang dikenali sebagai Thun, mereka bersama beberapa rakan lain diserang oleh sekumpulan individu bersenjatakan kayu besbol dan pedang samurai menyebabkan masing-masing bertempiaran melarikan diri ke arah yang berbeza.

Ketika melarikan diri, mangsa dikatakan terjatuh dalam terusan di Persimpangan Tung Hua Chang.

Mayat mangsa ditemukan terapung pada Rabu, iaitu sehari selepas kejadian serangan berkenaan.

Polis kini sedang menyiasat kes berkenaan dan mengesahkan sekurang-kurangnya sepuluh remaja lelaki terlibat dalam serangan tersebut.

Malah hasil siasatan mendapati mangsa dan penyerangnya pernah berkawan sebelum ini. -Thaiger

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain