PENDUDUK Kota Subulussalam, Aceh, Indonesia dikejutkan dengan penemuan mayat seorang wanita di sebuah klinik kecantikan, pada petang Sabtu. Ketua Polis Subulussalam, AKBP Yhogi Hadisetiawan berkata, identity mangsa dikenal pasti sebagai SN, berusia 24 tahun dan berasal dari Simeulue. Kronologi penemuan mayat itu bermula apabila pemilik klinik kecantikan berkenaan yang berada di luar kawasan menghubungi pemilik premis bersebelahan kliniknya untuk mengejutkan mangsa kira-kira pukul 11.43 pagi. Bagaimanapun, individu tersebut memberitahu tiada sahutan selepas dia berkali-kali memanggil sambil mengetuk pintu. Pemilik premis kecantikan berkenaan kemudian bertindak menghubungi polis. Anggota polis yang tiba melakukan pemeriksaan dan terpaksa memecahkan pintu belakang klinik, sebelum menemui mayat mangsa dengan keadaan lehernya terbelit kabel elektrik. Hasil siasatan awal, polis mengesyaki mangsa membunuh diri. Ini berdasarkan siasatan di lokasi kejadian di mana tiada tanda premis dipecah masuk ataupun barang yang hilang. Hasil bedah siasat juga mendapati tiada kesan keganasan ditemui pada mayat mangsa. Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian.-Serambinews Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube