SEORANG kanak-kanak perempuan berusia enam tahun ditemukan lemas dipercayai dicampak ke dalam kolam oleh datuknya sendiri.
Kejadian tragis ini berlaku pada kira-kira pukul 7 malam Isnin.
Insiden yang berlaku di Ban Nong Teen Phuak, Nam Chan di Thailand itu disahkan polis selepas mereka menerima laporan mengenai mayat seorang kanak-kanak ditemukan lemas.
Mangsa dibesarkan oleh saudara-mara sebelah ibunya setelah bapanya dipenjarakan atas kesalahan dadah.
Menurut saudara-mara mangsa, kanak-kanak itu dilaporkan hilang sehari sebelum kejadian, dan pencarian dilakukan beramai-ramai.
Keadaan semakin mencurigakan apabila datuk mangsa kelihatan di bawah pengaruh dadah, merayau di kampung dan tidak menjawab keberadaan cucunya setelah disoal siasat.
Tidak lama kemudian, mayat kanak-kanak perempuan itu ditemukan di dalam kolam, sehingga menimbulkan keraguan bahawa mangsa dipercayai dicampakkan oleh datuknya ke dalam kolam.
Polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian. -Agensi
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube