suria

Pemilik restoran putih mata, baik hati bagi pelanggan makan percuma! Akhirnya sedar ditipu selepas tengok CCTV

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan jelik seorang pelanggan.

PELANGGAN yang kedekut ada kalanya sanggup menipu untuk mengelat daripada membayar.

Begitulah kisahnya apabila seorang pelanggan wanita di Mexico tergamak meletakkan lipas ke atas pinggan, ia bertujuan mendapatkan pampasan makanan percuma daripada sebuah restoran.

Muslihat licik pelanggan terbabit terbongkar apabila pihak pengurusan restoran melihat semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam premis.

Menerusi rakaman itu, kelihatan pelanggan berkenaan mengeluarkan bekas kecil yang mencurigakan daripada dalam dompetnya, dia kemudian menarik keluar objek aneh yang terkandung di dalam bekas itu untuk diletakkan ke atas pinggan.

Objek tersebut dipercayai merupakan lipas hidup kerana pelanggan itu terpaksa menggunakan garpu untuk mengetuk bekas dan memaksa ia keluar.

Apabila lipas tersebut sudah berjaya diletakkan di atas pinggan, pelanggan itu terus memanggil pelayan restoran untuk membuat aduan, dia turut bercakap dalam nada yang marah supaya kelihatan lebih meyakinkan.

Terkejut dengan penemuan tersebut, pemilik restoran itu membenarkan pelanggan terbabit untuk pulang tanpa membuat pembayaran ke atas makanan yang dipesan.

Hanya selepas pemilik restoran melihat semula rakaman CCTV, baru diketahui perkara yang sebenarnya terjadi.

Video itu kemudiannya dimuat naik ke platform media sosial sebagai peringatan kepada perniagaan lain untuk tidak terjerat dengan modus operandi yang sama. - Oddity Central

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain