BERANG dengan gelagat seorang budak perempuan yang menangis tanpa henti ketika dalam perjalanan dari Guizhou di barat daya China ke Shanghai, dua wanita dari negara berkenaan bertindak mengurungnya di dalam tandas pesawat. Menurut laporan Shangyou News, salah seorang wanita itu memberitahu para penumpang pesawat berkenaan dilihat menyumbat telinga masing-masing dengan tisu kerana tidak tahan dengan bunyi bising akibat tangisan. Dek kerana itu dia cuba menenangkan kanak-kanak berusia setahun yang terbang ditemani datuk dan neneknya dengan menunjukkan video hiburan, tetapi malangnya ia gagal. Tidak lagi mampu bertahan dengan situasi itu, dia bersama seorang penumpang wanita lain akhirnya membawa kanak-kanak tersebut ke tandas pesawat sebelum mengunci pintu dengan tujuan untuk mendisplinkannya. Dua wanita bertindak untuk mendisiplin kanak-kanak perempuan yang membuat bising. Difahamkan kedua-dua wanita itu tidak mengenali antara satu sama lain. Menerusi video yang dimuat naik di media sosial, mereka dilihat mengugut kanak-kanak tersebut dengan memberitahu jika terus menangis, dia tidak akan dikembalikan kepada datuk dan neneknya. Kanak-kanak itu kemudian menampar pintu tandas, mula menangis meminta untuk kembali kepada neneknya sambil memberitahu “OK” dengan syarat yang ditetapkan. Kanak-kanak perempuan itu tidak lagi menangis sepanjang baki dua jam penerbangan. Sementara itu Juneyao Air dalam satu kenyataan memberitahu bahawa datuk dan nenek kanak-kanak itu mengakui mereka kurang pengalaman menjaga budak itu, justeru memberi persetujuan kepada dua wanita terbabit untuk mendisiplinkan cucu mereka. Syarikat itu juga menghubungi ibu kanak-kanak itu dan dia memahami tindakan kedua-dua penumpang tersebut. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube