suria

Remaja 14 tahun mengamuk di sekolah, tembak mati empat individu termasuk 2 guru

Situasi di luar Sekolah Tinggi Apalachee di Winder, Georgia di mana insiden tembakan berlaku. -Foto X/@Worldsource24

SEORANG remaja berusia 14 tahun berdepan dengan pertuduhan membunuh, selepas menembak mati empat individu termasuk dua guru, dalam satu insiden tembakan di sebuah sekolah tinggi di Georgia, Amerika Syarikat, pada Rabu.

Dalam insiden tersebut, dilaporkan seramai sembilan individu turut mengalami kecederaan.

Suspek yang dikenali sebagai Colt Gray, pelajar di Sekolah Tinggi Apalachee, akan didakwa membunuh serta dibicarakan sebagai orang dewasa, menurut Biro Siasatan Georgia.

Remaja tersebut dilaporkan menyerah diri kepada pihak berkuasa sejurus melakukan insiden tembakan dan telah ditahan.

"Penembak itu dengan cepat menyedari bahawa jika dia tidak menyerah, maka dia akan ditembak. Justeru, dia menyerah, berbaring di tanah dan pihak kami menahannya," kata pegawai polis daerah, Jud Smith kepada pemberita.

Menurut Smith, motif dan sasaran serangan tidak dapat dipastikan setakat ini.

Sementara itu, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dalam satu kenyataan berkata bahawa pihaknya pernah menyiasat suspek pada tahun lalu, selepas menerima maklumat mengenai ugutan secara dalam talian (online) untuk menyerang Sekolah Tinggi Apalachee.

Biro itu tidak mendedahkan identiti suspek pada masa itu dan juga mengatakan bahawa tidak ada sebab yang mungkin untuk membuat tangkapan.

Presiden AS, Joe Biden, menzahirkan rasa dukacita susulan insiden berkenaan dan mengucapkan takziah kepada keluarga mereka. -Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain