SEORANG wanita hamil gugur kandungan selepas menjadi mangsa serangan dua murid sekolah menengah. Insiden tragis berkenaan berlaku sekitar pukul 6.20 petang pada jumaat lalu di Tranent, Scotland. Menurut laporan berita tempatan, dua pelajar sekolah menengah berpakaian uniform hitam didakwa menolak wanita hamil terbabit. Mangsa sebelum kejadian sedang duduk di bangku sebuah perhentian bas. Suspek kemudiannya melarikan diri sejurus melakukan tindakan yang tidak berhati perut itu. Keesokan harinya, suami wanita berkenaan membawa mangsa ke hospital apabila isterinya mengadu sakit dan dilihat mengalami pendarahan teruk. Lebih memilukan apabila wanita tersebut disahkan keguguran semasa berada di hospital. Si suami yang kecewa berkongsikan kejadain itu di media sosial dan meminta keadilan untuk isterinya. Turut disertakan dalam hantaran itu adalah pesanan kepada ibu bapa supaya mendidik anak-anak mengenai adab dan rasa hormat. "Dengan berat hati memaklumkan bahawa isteri saya mengalami keguguran dan sedang menjalani rawatan di hospital. "Ini pengalaman yang sangat traumatik dan menyayat hati bagi kami sekeluarga terutamanya kepada isteri dan anak-anak saya. "Saya merayu kepada ibu bapa untuk mendidik anak tentang adab dan rasa hormat di tempat awam," katanya. Menurut Polis Scotland, mereka menerima laporan mengenai serangan itu dan sedang menjalankan siasatan. - Mirror.UK Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube