suria

Bapa tergamak jual anak lelaki, tanggung kos isteri bersalin di hospital swasta

Segelintir individu tergamak melakukan apa jua jenayah demi mendapatkan wang. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki tergamak 'menjual' anak lelakinya yang berusia tiga tahun, didakwa kerana terdesak memerlukan wang.

Lelaki tersebut didakwa tidak mampu membiayai kos yang dikenakan sebuah hospital swasta, untuk membawa pulang isterinya yang baharu bersalin.

Kejadian dilaporkan berlaku di Uttar Pradesh, India.

Memetik laporan India Today, penduduk tempatan mendakwa, bayi yang baharu dilahirkan tersebut adalah anak keenam lelaki tersebut bersama isterinya.

Kakitangan hospital tidak membenarkan isteri dan bayinya pulang selagi tidak menjelaskan kos yang dikenakan.

Justeru disebabkan terdesak, bapa kepada enam cahaya mata itu bersetuju untuk menjual anak lelakinya yang berusia tiga tahun dengan harga tertentu, pada Jumaat, menurut polis.

Bagaimanapan, perbuatan lelaki tersebut terbongkar dan polis segera melancarkan siasatan.

Hasil kecekapan pihak polis, seramai lima individu yang terlibat dalam jenayah tersebut berjaya diberkas, termasuk pasangan yang membeli kanak-kanak berkenaan, pada Sabtu.

"Kanak-kanak tersebut telah diselamatkan dan dikembalikan kepada ibu bapanya," kata seorang pegawai polis.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain