suria

Remaja maut gara-gara doktor palsu buat pembedahan berpandukan video YouTube

Pasukan perubatan sewajarnya mempunyai tauliah untuk merawat pesakit. -Gambar hiasan

SEORANG remaja lelaki berusia 15 tahun meninggal dunia selepas pembedahan membuang batu dalam pundi hempedunya gagal kerana dilakukan oleh doktor palsu.

Insiden tersebut dilaporkan berlaku di Bihar, India.

Difahamkan, remaja itu dibawa ke sebuah klinik yang dikendalikan oleh 'doktor' tersebut di Madhaura pada malam Jumaat oleh keluarganya, selepas mengadu muntah dan sakit perut.

Memetik laporan India Today, ahli keluarga mangsa berkata, doktor berkenaan melakukan pembedahan tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka.

Mereka juga mendakwa bahawa doktor berkenaan melakukan pembedahan dengan merujuk video YouTube di telefon bimbitnya.

Ketika pembedahan dijalankan, keadaan mangsa semakin teruk.

Apabila keluarga mangsa bersuara, doktor tersebut dilaporkan menempelak mereka kembali.

Doktor tersebut akhirnya memutuskan untuk menghantar remaja berkenaan ke hospital di Patna, tetapi mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Dia kemudian melarikan diri dari tempat kejadian dan meninggalkan mayat mangsa.

Keluarga mangsa bertindak membuat laporan polis terhadap doktor berkenaan atas dakwaan cuai dan penyelewengan sehingga mengakibatkan kematian.

Polis kini sedang giat memburu doktor berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain