SETIAP pekerjaan mempunyai cabaran dan tekanan yang tersendiri. Maka tidak hairanlah ada yang mengalami pelbagai masalah kesihatan sama ada melibatkan fizikal mahupun mental. Terkini, seorang wanita di China dilaporkan mengalami masalah berat badan disebabkan tekanan kerja yang dihadapi. Berdasarkan laporan South China Morning Post, wanita berusia 24 tahun itu mengalami pertambahan berat badan sebanyak 20 kilogram (kg) dalam tempoh setahun. Ouyang Wenjing dari wilayah Guangdong di selatan China berkata, berat badannya meningkat daripada 60kg kepada 80kg selepas bekerja selama setahun. Enggan berkongsi lokasi kerja mahupun jenis pekerjaan, dia yang kini menjadi pempengaruh penurunan berat badan, mengakui situasi yang dialami itu membuatkan dirinya berhenti kerja pada Jun lalu. Mengimbau rutin semasa bekerja, ujar Ouyang, dia sering bekerja lebih masa kerana mempunyai syif yang tidak teratur selain kerap mendapatkan khidmat pekerja penghantaran bagi mendapatkan makanan. Terdahulu, Ouyang mempunyai 41,000 pengikut di media sosial selepas sering membuat hantaran berhubung cara menurunkan berat badan termasuk mengurangkan minyak dan gula. Perubahan rutin yang dilakukan membolehkan dia kehilangan 6kg dalam masa sebulan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube