suria

Mentua mungkir janji bayar duit kahwin 36K, keluarga pengantin perempuan terpaksa tanggung hutang

Pasangan itu melangsungkan perkahwinan pada April lalu sebelum membuat keputusan untuk berpisah. Foto DailyNews

SEORANG wanita menuduh bekas bapa mentuanya gagal menunaikan janji untuk membayar mas kahwin, menyebabkan dia sekeluarga terpaksa menanggung hutang yang banyak.

Wanita berusia 21 tahun itu menjalinkan hubungan dengan bekas suaminya sejak mereka berumur 19 tahun, ketika kedua-dua mereka menjadi pelajar universiti tahun pertama.

Walaupun masih bergelar pelajar, mereka memutuskan untuk melangsungkan perkahwinan pada tahun ini.

Perkahwinan mereka berlangsung pada 21 April lalu di kediamannya di Kamphaeng Phet, Thailand.

Bapa lelaki itu kemudian menawarkan mas kahwin sebanyak 280,000 baht (RM36,100) secara tunai dan emas bernilai 81,000 baht (RM10,400).

Dia menegaskan bahawa dia mahupun keluarganya tidak meminta mas kahwin berkenaan tetapi bekas bapa mentuanya yang menawarkannya.

Namun sehari sebelum perkahwinan, bapa mentuanya memberitahu bahawa dia tidak dapat memberikan mas kahwin yang dijanjikan.

Keadaan itu menyebabkan ibunya terpaksa menjual emasnya pada harga 80,000 baht (RM10,300) dan meminjam 200,000 baht (RM25,800) daripada saudara-mara untuk memastikan perkahwinan itu dapat diteruskan.

Bapa bekas suaminya itu berjanji untuk memulangkan semua wang dalam tempoh 15 hari selepas perkahwinan tetapi dia menghilangkan diri dan tidak menjawab telefonnya sebaik majlis perkahwinan selesai.

Wanita itu mendedahkan dia kemudian memutuskan untuk bercerai dengan suaminya.

Dia kini menuduh bekas bapa mentuanya cuba menipu sehingga menyebabkan keluarganya terbeban dengan hutang yang banyak.

Pada masa sama, dia juga cuba mendapatkan khidmat guaman bagi menyelesaikan kes tersebut. -Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain