SEORANG wanita di Jepun yang menerima panggilan misteri lebih 100 kali dalam sehari, terkejut apabila mendapat tahu dalang sebenar yang membuat panggilan berkenaan sejak sebulan yang lalu. Menurut wanita berusia 31 tahun itu, pemanggil hanya mendiamkan diri apabila dia menjawab telefon menyebabkannya berasa tidak selesa dan rimas. Memetik laporan media Jepun Kobe Shimbun, wanita tersebut kemudian memberitahu suaminya tentang perkara itu, tetapi lelaki berkenaan enggan mempedulikannya. Wanita berkenaan memberitahu, dia perasan gangguan telefon berhenti apabila suaminya tidur, bermain permainan video atau menghabiskan masa dengannya. Curiga dengan perkara tersebut, wanita itu bertindak membuat laporan polis. Pihak polis kemudian memeriksa dan melakukan siasatan terhadap rekod panggilan pemanggil misteri yang mengganggu wanita berkenaan. Hasil siasatan mendapati suami wanita tersebut adalah individu di sebalik setiap panggilan misteri yang diterimanya. Lelaki itu menggunakan nombor private agar tidak dikenali oleh isterinya. Siasatan juga mendapati pasangan itu tidak mempunyai konflik malah hubungan mereka kelihatan harmoni. Menurut beberapa laporan media, tindakan lelaki berkenaan didorong oleh perasaan cemburu terhadap isterinya itu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube