KEMATIAN seorang pekerja wanita di sebuah syarikat di Samut Prakan, Thailand mencetuskan kemarahan ramai selepas muncul pendedahan bahawa punca kematiannya disebabkan dia telah dinafikan cuti sakit. Memetik laporan Thaiger, wanita tersebut meninggal dunia ketika dirawat di sebuah hospital di Pak Nam pada Ahad. Sebelum meninggal dunia, wanita itu mengadu kepada rakannya mengenai kesukaran untuk mengambil cuti sakit kerana sudah mengambilnya sebelum ini. Tangkap layar (screenshot) perbualan antara wanita itu dan rakannya di aplikasi Line telah dikongsikan di akaun Facebook E-Sor Khayee Khao pada Isnin (16 September) yang kemudiannya menjadi tular. Menurut rakannya, wanita berusia 30 tahun itu didiagnos mengalami radang usus besar dan dimasukkan ke hospital dari 5 hingga 9 September. Apabila keadaannya masih belum sembuh, dia meminta melanjutkan cuti sakit dari 10 hingga 12 September. Malangnya, pihak syarikat menuntut sijil perubatan (MC) sebelum meluluskan cuti sakitnya. Kerana bimbang kehilangan pekerjaan, wanita itu memutuskan untuk pergi bekerja. Tetapi hanya 20 minit selepas mula bekerja, wanita tersebut rebah dan dihantar ke hospital, sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan. Timbalan Ketua Pejabat Kesihatan Awam Samut Prakan, Rungsan Wongboonnak berkata kes itu akan disiasat dan maklumat lanjut mengenai rawatan pesakit akan diperoleh daripada hospital. Sementara itu Ketua Jabatan Perlindungan dan Kebajikan Buruh Samut Prakan, Pattanachat Chumthong, berkata pekerja dibenarkan mengambil cuti sakit sehingga 30 hari setahun. Tambahnya, majikan boleh meminta sijil sakit sekiranya cuti sakit melebihi tiga hari. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube