MALANG tidak berbau. Demikian situasi yang melanda pasangan suami isteri ini semasa meraikan perayaan musim luruh di Taichung, China selepas anak lelaki mereka ditemukan meninggal dunia di dalam almari. Menurut laporan polis, bayi berusia satu tahun itu dipercayai meninggal dunia akibat sesak nafas kerana tertelan duit syiling dan mainan ketika ditinggalkan sendirian semasa pengasuhnya keluar untuk membeli barang. Pihak polis juga mengesyaki mangsa merangkak masuk ke dalam kabinet pintu gelangsar untuk bermain sendiri sebelum menelan objek keras yang menyebabkannya mengalami sesak nafas sehingga meninggal dunia. Lebih menyedihkan apabila polis turut mendedahkan terdapat beberapa kecederaan lain di tubuh mangsa. Dalam pada itu, siasatan Jabatan Hal Ehwal Sosial mendapati pengasuh itu menjaga empat anak dalam satu masa, tetapi tidak memiliki lesen yang sah. Menurut pengakuan tertuduh, pada hari kejadian, dia membawa seorang daripada kanak-kanak itu keluar bersama, manakala tiga lagi ditinggalkan di bawah jagaan anak-anaknya yang sudah dewasa. Bagaimanapun, apabila pulang ke rumah, dia mendapati budak lelaki itu di dalam almari dengan muka pucat dan terdapat syiling serta mainan di dalam mulut. Tertuduh juga menafikan dakwaan telah mendera mangsa dengan menyatakan kesan luka dan lebam adalah disebabkan kenakalan. Untuk rekod, mangsa dijaga sejak Mac lalu dengan kadar 25,000 yuan atau kira-kira RM14,942, sebulan. - Thaiger Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube