suria

Lelaki tikam isteri sedang check-in hotel dengan kekasih gelap... Polis dedah suspek, mangsa dalam proses bercerai

Banyak kes jenayah berlaku disebabkan faktor cemburu. -Gambar hiasan

SEPASANG kekasih ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di kawasan parkir sebuah hotel akibat ditikam ketika mahu mendaftar masuk (check-in).

Kejadian dilaporkan berlaku di Giri, Jawa Timur, Indonesia.

Menurut Ketua Polis Daerah Giri, Inspektor Budi Mujiono, dalam kejadian yang berlaku pada petang Khamis itu, kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai SH dan NS, masing-masing berusia 49 tahun dan 45 tahun, difahamkan tiba di hotel untuk mendaftar masuk.

Tanpa disedari, pasangan tersebut diekori oleh suami kepada NS.

Ketika berada di kawasan parkir hotel, berlaku pertengkaran antara ketiga-tiga individu berkenaan.

Tidak lama kemudian, kakitangan hotel terdengar jeritan meminta tolong, sebelum menemui SH dan NS sedang berlumuran darah.

Kedua-duanya segera dikejarkan ke hospital berhampiran oleh orang awam, manakala suami NS iaitu suspek pula melarikan diri.

Ujar Budi, pihaknya segera ke lokasi selepas mendapat panggilan kecemasan.

"Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan darah. Disyaki kedua-dua mangsa ditikam dari belakang," katanya memetik laporan Detik.

Siasatan awal mendapati punca suspek bertindak sedemikian adalah kerana cemburu, memandangkan dia dan NS masih lagi pasangan suami isteri walaupun sedang dalam proses penceraian.

Polis ketika ini giat memburu suspek.

Sementara itu kedua-dua mangsa masih menerima rawatan rapi di hsopital.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain