SEORANG ibu bertindak menampar seorang guru hamil kerana didakwa membuli dan mengaibkan anak perempuannya di sekolah. Kedua-dua pihak kini meneruskan tindakan undang-undang terhadap satu sama lain. Kejadian berlaku di sebuah sekolah di wilayah Nonthaburi, Thailand. Menerusi satu rakaman, wanita berusia 41 tahun itu dilihat melawat sekolah dan meminta anak perempuannya yang berusia 14 tahun untuk mengenal pasti guru yang mempunyai masalah dengannya. Selepas ditunjuk, ibunya segera menghampiri guru tersebut dan memukul kepalanya. Seorang guru lelaki mencelah dan meminta kedua-dua pihak bertenang. Ibu berkenaan memaklumkan anaknya menghubunginya, mendakwa guru berkenaan menghinanya dengan bahasa kesat di hadapan ramai rakan sekelas, menyebabkan dia berasa sangat malu. Wanita itu mendakwa guru berkenaan tidak beretika, apabila mengarahkan pelajar lain membuang kasut anaknya ke dalam tong sampah, selepas menuduh anaknya ponteng kelas. Dia mengakui anak perempuannya degil dan nakal, serta menerima sekiranya hukuman dijalankan mengikuti peraturan di sekolah, namun dia percaya guru itu menghukum pelajar kerana bersifat peribadi dan berat sebelah. Media Thailand melaporkan guru itu menjalani pemeriksaan kesihatan selepas serangan dan membuat laporan polis. Sementara itu, si ibu bersama anak perempuannya turut memfailkan aduan di balai polis yang sama, menuduh guru tersebut tidak beretika dan menyakiti perasaan pelajar. Pada masa ini, polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube