suria

Bapa belasah anak dengan batang ubi kayu sebelum tikam bertubi-tubi... Berang mangsa jatuhkan motosikal

Suspek berusia 44 tahun ditahan kerana didakwa membunuh anak kandungnya sendiri. -Foto Detik/Istimewa

SEORANG remaja berusia 13 tahun maut dibunuh oleh bapa kandung sendiri yang berang selepas mendapat tahu mangsa merosakkan motosikal miliknya.

Menurut Ketua Unit PPA Polis Pangkep, Bripka Hidayat, kejadian berlaku pada 8 Ogos lalu ketika mangsa tidak sengaja menjatuhkan motosikal yang dipinjam daripada bapanya.

"Mangsa secara tidak sengaja menjatuhkan motosikalnya. Selepas tiba di rumah, bapanya melihat terdapat kerosakan pada motosikalnya," katanya yang dipetik Detik.

Ujarnya, suspek yang berusia 44 tahun dari Kabupaten Maros, Sulawesi Selatan tidak dapat menahan marah lalu membelasah mangsa menggunakan batang pokok ubi kayu.

Ibarat dirasuk, suspek kemudian bertindak menikam mangsa pada bahagian belakang tubuhnya menggunakan pisau.

Tambah Hidayat, kejadian berkenaan sempat disaksikan oleh seorang rakan mangsa yang kebetulan berkunjung ke rumahnya.

Remaja tersebut cuba menyelamatkan mangsa dengan bertindak membawanya ke klinik kesihatan di Pangkep.

Mangsa bagaimanapun gagal diselamatkan dan menghembuskan nafas terakhir tidak lama selepas tiba di klinik.

Rakan mangsa pada mulanya disyaki melakukan jenayah berkenaan namun hasil siasatan polis akhirnya membawa kepada penangkapan bapa mangsa.

Menurut Hidayat, bapa mangsa akhirnya berjaya ditahan di Kampung Carangki, Daerah Tanralili, Maros pada awal pagi Sabtu (28 September).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain