MIMPI ketika tidur sering digambarkan sebagai mainan syaitan untuk memperdaya seseorang. Jika kurang pertimbangan yang waras, sesebuah mimpi itu boleh membawa kepada malapetaka. Begitulah kisahnya apabila seorang lelaki dikenali sebagai Nyoman Tista, 45, bertindak kejam membunuh saudara tirinya dalam insiden tragis di Kabupaten Karangasem, Bali, Indonesia. Suspek sebelum itu dikatakan mendapat bayangan dalam tidurnya selama tiga hari berturut-turut bahawa dia akan dibunuh oleh mangsa iaitu Ketut Badung berusia 47 tahun. Demikian itu, suspek ketika berjumpa dengan mangsa secara mengejut menikam pisau pada bahagian dada kiri Badung. Seorang penduduk kampung yang berada di tempat kejadian berkata dia terkejut melihat tragedi berdarah tersebut berlaku di depan matanya. "Mangsa cuba melawan tapi tidak berdaya kerana sudah mengalami kecederaan yang parah," ujar jurucakap polis, Agus Adi Apriyoga. Dalam pada itu, suspek turut mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan pahanya akibat bergelut dengan mangsa, dia kini sedang dirawat di hospital. Siasatan awal polis menolak kemungkinan kejadian tersebut berlaku disebabkan dendam peribadi. "Kami sudah menyoal siasat suspek, dia mengakui tidak wujud persengketaan antara mereka. Konflik dahulu juga sudah lama selesai. "Siasatan akan diteruskan hingga motif pembunuhan dapat dikenal pasti," ujar Apriyoga. - Tribunnews.com Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube