IRAN melancarkan sekurang-kurangnya 180 peluru berpandu balistik ke arah Israel sebagai tindak balas kepada kekejaman Zionis melakukan pembunuhan dan jenayah terhadap Lubnan serta Palestin. Serangan yang dilakukan oleh Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) pada Selasa itu adalah tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah pada minggu lalu dan kematian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dalam pengeboman Tehran. Dalam satu kenyataan, IRGC memberi amaran kepada rejim Israel bahawa serangan lebih hebat akan dilakukan ke atas bandar Tel Aviv, Jerusalem, dan Haifa jika mereka menyerang balas. IRGC menggunakan peluru berpandu hipersonik Fattah untuk memusnahkan radar sistem antipeluru berpandu Arrow Israel, demikian menurut laporan media Iran. Sementara itu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyelar tindakan menyerang negaranya dan menyifatkan Iran melakukan 'kesilapan besar' dan 'akan membayar' untuk tindakan tersebut. Dalam mesyuarat Kabinet, Netanyahu menegaskan bahawa Iran 'tidak memahami' tekad Israel untuk membalas serangan terhadap musuhnya. "Mereka (Iran) akan faham. Kami akan mematuhi peraturan yang kami tetapkan. "Sesiapa yang menyerang kami, kami akan menyerang mereka," ikrar Netanyahu. Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menghantar lebih banyak tentera dan pesawat perang ke Timur Tengah untuk menyokong Israel. Untuk makluman, ini adalah serangan kedua Iran terhadap Israel, selepas serangan menggunakan dron dan peluru berpandu sebagai tindak balas terhadap serangan Zionis ke atas konsulat di Damsyik, Syria, pada April lalu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube