RAMBUT sama hitam, hati lain-lain. Begitulah insiden tragis menimpa sebuah sekolah di barat London, United Kingdom berpunca daripada tindakan tidak berhati perut seorang individu lelaki. Suspek tegamak menyimbah asid pada seorang kanak-kanak perempuan dan beberapa lagi pelajar sekolah berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan parah. Menurut jurucakap polis tempatan, kejadian mengerikan itu berlaku di hadapan Akademi Westminster sekitar pukul 4.22 petang, iaitu ketika pelajar dan kakitangan sekolah sedang bersiap-sedia untuk pulang ke rumah. "Suspek dipercayai memakai pakaian berwarna gelap, manakala wajahnya dilitupi topeng. Suspek menyimbah asid kepada mangsa secara rambang. "Dia kemudiannya menaiki e-skuter untuk melarikan diri dari tempat kejadian," katanya. Mangsa yang cedera terdiri daripada dua pelajar, masing-masing berumur 16 dan 14 tahun, manakala seorang lagi wanita berusia 27 tahun turut menerima nasib sama. "Seorang gadis berisiko mengalami kecacatan kekal, kecederaan mangsa lain pula tidak mengancam nyawa. "Mereka kini sedang menerima rawatan di hospital berdekatan," ujarnya. Polis memberi jaminan siasatan akan dijalankan sehingga suspek akhirnya ditangkap. - BBC Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube