PENEMUAN awal mendapati bas sekolah yang terbakar pada Selasa di Jalan Vibhavadi Rangsit di Pratum Thani, Thailand dan mengakibatkan kematian 23 penumpang itu dilengkapi 11 silinder gas bahan api. Pemangku Pesuruhjaya Polis Diraja Thailand, Pol. Gen. Kittharath Punpetch mengesahkan perkara itu dalam satu sidang akbar, Rabu dan memberi penghormatan kepada mangsa kejadian tragis tersebut. Menurut Kittharath, hanya enam silinder gas yang didaftarkan secara sah manakala lima lagi tidak disenaraikan dalam pendaftaran rasmi. Tambahnya, pihak polis dengan Jabatan Pengangkutan Darat sudah melakukan pemeriksaan pada kenderaan dan butiran berkaitan untuk menentukan punca kebakaran. "Siasatan forensik lanjut akan dijalankan untuk meneliti butirannya. Jika mana-mana individu atau syarikat didapati terlibat dalam salah laku, Polis Diraja Thai akan mengambil tindakan undang-undang sepenuhnya," katanya. Pada Selasa, Kittharath memberitahu bahawa kebakaran dipercayai tercetus akibat tayar meletup selepas mendapatkan keterangan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Susulan kejadian meragut nyawa itu, polis menahan pemandu bas pada Selasa dan membawanya untuk disoal siasat. Suspek didakwa dengan tuduhan memandu secara melulu atau cuai yang boleh membahayakan orang atau harta benda, mengakibatkan kematian atau kecederaan. Malah, suspek juga dikatakan cuba melarikan diri dari tempat kejadian tanpa menawarkan bantuan dan tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa sehingga mengakibatkan kematian orang lain. Suspek mengaku terhadap pertuduhan itu. Kitrat mendedahkan bahawa bas itu mula didaftarkan pada 19 Februari 1970, bermakna ia telah didaftarkan selama 54 tahun. Bagaimanapun, kenderaan itu didaftarkan semula pada 26 Oktober 2018, disebabkan oleh pengubahsuaian yang dibuat pada rangka casis dan perubahan pada dimensinya. Untuk rekod, bas yang membawa enam guru dan 39 pelajar itu dalam perjalanan pulang ke Uthai Thani sebelum terbakar di Jalan Vibhavadi Rangsit di Bangkok. Kejadian meragut nyawa itu telah mengorbankan seramai 20 orang pelajar dan tiga orang guru. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube