suria

Pemandu teksi mengamuk, serang anggota polis tutup lorong jalan... Dakwa jadi puncanya kemalangan

Tangkap layar daripada video memaparkan pemandu teksi motosial mengasari anggota polis dan merosakkan keretanya. -Foto Channel 13

SEORANG pemandu teksi motosikal mengamuk dan bertindak menyerang seorang anggota polis secara fizikal dan merosakkan kenderaannya tanpa mengendahkan orang awam yang lalu lalang.

Difahamkan, pemandu berusia 28 tahun yang dikenali sebagai Sahaphap mendakwa polis tersebut menjadi punca kemalangan jalan raya yang berlaku sebelum itu.

Insiden berkenaan berlaku di Bangkok, Thailand, petang pada Khamis lalu.

Menerusi rakaman yang tular, kelihatan suspek berbaju biru tua dan berseluar jeans mengasari anggota polis berkenaan, sebelum menendang kenderaannya sehingga cermin sisinya tercabut.

Bagaimanapun, anggota polis yang dikenali sebagai Koperal Wirodom Najaiboon, 30, masih kekal bertenang.

Menurut Wirodom, dia sedang menutup lorong kiri jalan untuk memberi laluan kepada bas pelajar yang dalam perjalanan pulang dari perkhemahan di Saraburi.

Bagaimanapun, suspek sedang memandu pada kelajuan tinggi dan gagal memperlahankan kenderaannya, menyebabkan berlaku perlanggaran antara kereta lain.

Suspek yang berang bukan hanya menyerang anggota polis berkenaan malah mendesaknya menanggung kos pembaikan teksi motosikalnya.

Pihak Balai Polis Mueang Nonthaburi masih menyiasat insiden berkenaan dan meneliti rakaman kamera keselamatan di lokasi kejadian. -Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain