SEORANG guru wanita maut akibat serangan jantung selepas kerap menerima panggilan ugutan menerusi aplikasi WhatsApp. Mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis pada 30 September lalu, yang mendakwa anak perempuannya ditahan berkaitan dengan kes pemerdagangan seks. Kejadian yang membabitkan seorang guru itu berlaku di Agra, Uttar Pradesh, India. Pemanggil itu mengancam untuk membocorkan video lucah melibatkan anak perempuannya sekiranya bayaran Rs. 1 lakh (kira-kira RM5,000) tidak dibuat. Guru berkenaan memaklumkan kejadian itu kepada anak lelakinya supaya segera memindahkan wang tersebut bagi menyelamatkan anak perempuannya daripada terbabit dalam kes itu. Anak lelaki mangsa berasa curiga dan mendapati panggilan itu dibuat oleh seseorang dari Pakistan yang menyamar sebagai pegawai polis untuk memeras wang daripada keluarga mereka. "Selepas dia mendapat panggilan daripada lelaki itu, dia panik dan menelefon saya, dan saya meminta nombor panggilan itu. ARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam putih mata, 150k lesap! Terjerat ‘Love Scam’ dengan ‘abang pilot’ ARTIKEL BERKAITAN: Pesara wanita terjebak Macau Scam kerugian lebih 600k, sindiket ‘ambil’ barang kemas di rumah "Apabila saya menyemak nombor itu, didapati ia mempunyai nombor awalan +92 dan saya memberitahunya bahawa ia adalah satu penipuan. Dia masih sangat cemas dan mula berasa tidak sihat. "Saya meyakinkannya dan juga memberitahunya bahawa saya telah bercakap dengan kakak saya yang berada di kolej dan dalam keadaan baik," katanya. Bagaimanapun, kejadian itu memberi kesan kepada kesihatan wanita itu. Dia mula berasa tidak sihat selepas pulang dari sekolah sekitar 4 petang. Dia kemudian dibawa ke hospital berdekatan tetapi disahkan meninggal dunia. Satu video tular dalam talian menunjukkan orang ramai meluru masuk ke dalam rumah mangsa untuk membantunya selepas dia mengalami serangan jantung. - Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube