suria

Kantoi merokok, pelajar sekolah pondok disiram air cili sebagai hukuman... Terjun kolah gara-gara tak tahan pijar

Mangsa berendam di dalam kolah bagi meredakan rasa pedih dan pijar. -Gambar hiasan (kanan)

POLIS menahan isteri kepada seorang pemimpin sebuah sekolah pengajian pondok atau tahfiz kerana menyiram air cili kepada seorang pelajar.

Kejadian dilaporkan berlaku di Aceh Barat, Indonesia.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polres Aceh Barat, Iptu Fachmi Suciandy, penahanan wanita berkenaan dibuat selepas keluarga kepada mangsa yang berusia 13 tahun itu melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

Difahamkan, mangsa diperlakukan sedemikian oleh suspek yang berusia 40 tahun sebagai hukuman kerana merokok.

Mangsa dilaporkan menangis akibat tubuh badannya terasa pedih dan pijar sehingga bertindak terjun ke dalam kolah untuk mengurangkan kesakitan.

“Kami masih mengambil keterangan saksi berhubung kes ini.

“Suspek ditahan kerana disyaki melakukan kekerasan terhadap seorang pelajar di sebuah pondok tahfiz.

“Dia ditahan di rumahnya dan sedang menjalani siasatan di Ibu Pejabat Polis Aceh Barat,” kata Fachmi.

Terdahulu, video kejadian berkenaan menjadi tular di laman sosial dan membangkitkan kemarahan ramai yang menyifatkan hukuman itu sebagai tidak wajar. -Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain