DUA pekerja pasar terkejut apabila menemukan mayat seorang remaja dalam keadaan tergantung ketika menghantar cili, dalam kejadian pada awal pagi, Khamis lalu. Kejadian dilaporkan berlaku di Musi Rawas, Sumatera Selatan. Menurut Ketua Polis Hubungan Masyarakat Musi Rawas, AKP Herdiansyah, kedua-dua pekerja tersebut segera menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan berkenaan. Polis yang menerima maklumat segera ke lokasi kejadian. Hasil siasatan polis turut menemukan sepucuk surat, dipercayai ditulis oleh remaja tersebut, yang disimpan di dalam beg plastik bersamanya. Antara isi kandungan surat berkenaan yang ditujukan buat ibunya, remaja yang berusia 13 tahun itu memberitahu dia tidak tahan dan tertekan sepanjang belajar di sekolah pondok. Selain meminta ibunya memaafkan setiap kesalahan, remaja tersebut turut menitipkan pesanan supaya ibunya menghadiahkan al-Fatihah buat dirinya kelak. "Satu perkara yang saya nak sampaikan, saya sayang ibu dan ayah, jaga adik-adik saya, ibu. Saya sayang ibu," demikian ayat yang ditulis pada akhir perenggan surat berkenaan. Ujarnya, hasil siasatan awal berdasarkan surat berkenaan, polis mengesyaki remaja tersebut membunuh diri kerana tertekan. Mayat ramaja itu dihantar ke Pusat Kesihatan Megang Sakti sebelum dibawa pulang ke kampungnya untuk dikebumikan. Sebagai peringatan, perbuatan membunuh diri adalah haram dalam Islam dan semua pihak perlu menjauhinya. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube