SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemukan lemas selepas ditinggalkan berseorangan di kolam renang oleh bapanya. Dalam kejadian yang berlaku pada petang Ahad itu, mangsa dikatakan mengunjungi kolam renang yang terletak di Desa Blimbing, Jombang, Jawa bersama bapanya untuk beriadah. Ketua Polis Daerah, Inspektor Niswan menjelaskan, pada mulanya mangsa yang berasal dari Mojokerto bermain di kolam renang kanak-kanak dengan pengawasan bapanya. Ujarnya, tidak lama kemudian, bapa mangsa pergi ke surau yang terletak tidak jauh dari kolam renang untuk menunaikan solat Asar. "Apabila bapanya kembali dari surau, kanak-kanak itu didapati lemas di kolam renang dewasa. "Mangsa ditemui pada kedalaman hampir dua meter. Mungkin ketika ditinggalkan solat, mangsa terjun ke dalam kolam renang dewasa," jelasnya. Difahamkan ketika kejadian, kolam renang berkenaan sudah mulai lengang dengan pengunjung. Tambah Niswan, pasukan perubatan yang melakukan pemeriksaan tidak menemui sebarang tanda kekerasan pada mayat mangsa. "Kecuaian ibu bapa... anak sebegitu dibiarkan tanpa pengawasan. Kita akan soal siasat pemilik kolam renang dan ibu bapa mangsa," ujarnya lagi. Tambah Niswan, jenazah mangsa telah diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube