suria

Bapa tergamak jual anak baru lahir dalam talian... Konon ada masalah kewangan, rupanya ketagih judi!

Iklan penjualan bayi di laman sosial semakin menjadi-jadi. - Gambar hiasan

SEORANG lelaki ditahan polis selepas menjual bayinya secara dalam talian dengan harga 10 juta rupiah (RM2,996) bagi tujuan berjudi.

Kejadian itu disedari ibu mangsa apabila mendapati bayi yang baru lahir beberapa hari lalu itu hilang.

Dia kemudian mendesak suaminya berusia 36 tahun itu memberitahu di mana lokasi anak mereka.

Selepas didesak berulang kali, lelaki itu akhirnya membuat pengakuan sudah menjual bayi berkenaan.

Kejadian berlaku di bandar Tangerang di timur Jakarta, Indonesia.

Ketua polis Tangerang, Zain Dwi Nugroho berkata, suspek melihat iklan di Facebook mengenai individu sedang mencari anak untuk dibeli sebelum dia menghantar mesej bagi urusan jual beli.

ARTIKEL BERKAITAN: Terdesak perlukan wang, bapa tergamak jual bayi berusia 11 bulan... Kantoi selepas isteri buat laporan polis

ARTIKEL BERKAITAN: Hidup susah tapi tiba-tiba mampu beli iPhone! Pasangan suami isteri kantoi jual bayi sendiri akhirnya ditahan

Ketika disoal siasat, suspek memaklumkan dia mengalami masalah kewangan, tetapi sebaliknya menggunakan wang tersebut untuk berjudi.

Bayi itu kemudian ditemukan di sebuah rumah sewa di Tangerang, dan dua suspek dewasa turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pemerdagangan manusia.

Mereka berdepan hukuman penjara hingga 15 tahun dan denda 600 juta rupiah (RM128,400) di bawah undang-undang Indonesia jika sabit kesalahan.

Kes itu berlaku hanya beberapa minggu selepas polis membongkar kumpulan penyeludupan bayi yang tidak berkaitan di bandar Depok, dengan bayi dijual di Facebook pada harga antara 10 juta hingga 15 juta rupiah (RM2,000 hingga RM3,167).

Bayi-bayi tersebut kemudian dibawa ke Bali, sebelum dijual semula sebanyak 45 juta rupiah (RM9,395).

Sebagai peringatan, kegiatan judi adalah haram dan berdosa besar dalam Islam, maka semua harus menjauhinya. - Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain