SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun kehilangan mata kanannya selepas bateri rokok elektronik atau vape meletup dan mengenai mukanya. Kejadian berlaku di Fortunestown, Tallaght, ketika mangsa yang dikenali sebagai Ruby Grainger, sedang berjalan untuk membeli ais krim. Menurut laporan Mirror, ibunya, Ciara, hanya menyedari kejadian tersebut apabila terdengar anaknya menjerit sejurus selepas letupan itu berlaku. Difahamkan, kejadian tersebut berpunca apabila ada beberapa remaja membakar sesuatu di tepi jalan secara tidak bertanggungjawab. Ruby segera dikejarkan ke Hospital Tallaght dan menjalani pembedahan kecemasan dengan doktor terpaksa mengeluarkan mata kanan kanak-kanak itu. Menurut doktor, kecederaan berpunca daripada asid bateri vape yang menyebabkan kerosakan teruk pada mata Ruby. Susulan itu, Ruby kini perlu menjalani prosedur dalam tempoh enam minggu sebelum memakai mata palsu, jika sembuh sepenuhnya. Malah, mata kiri mangsa juga mengalami kecederaan, dan turut berisiko untuk kehilangan penglihatan. Ciara meluahkan rasa kecewa dengan insiden berkenaan dan kini berjuang mahu menegakkan keadilan buat anaknya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube