SEBUAH keluarga di Taiwan terkejut selepas mendapati pembantu rumah mereka, seorang wanita warga Indonesia, melahirkan bayi di atas katil dalam salah sebuah bilik di kediaman mereka. Keluarga yang menetap di Hsinchu itu membuat perkongsian mengenai insiden tersebut di Facebook, sambil turut memuat naik video rakaman kamera pengawasan memaparkan detik ketika wanita itu bersalin seorang diri pada 11 September lalu. Keluarga itu memaklumkan bahawa pembantu rumah tersebut diupah untuk menjaga nenek mereka sejak lima bulan lalu tanpa mengetahui wanita berkenaan sedang hamil, demikian menurut saluran berita Taiwan The Storm Media. Keluarga itu juga berkata mereka tidak tahu tentang kehamilan wanita tersebut kerana undang-undang tidak memerlukan ujian kehamilan pra-pekerjaan daripada pekerja asing yang tinggal di Taiwan, selain wanita berkenaan memakai pakaian yang longgar untuk menyembunyikan perutnya. Difahamkan, pembantu rumah tersebut menjalani pemeriksaan badan sebelum datang ke Taiwan, tetapi dia dilaporkan menggunakan dokumen perubatan rakannya untuk lulus dalam pemeriksaan berkenaan. Keluarga itu menambah, mereka kini terpaksa menjaga pembantu rumah tersebut dan bayinya. Mengikut undang-undang tempatan, majikan yang memecat pekerja hamil atau pekerja yang baru melahirkan anak boleh berdepan penalti sehingga AS$47,000 (kira-kira RM201,538) dan pembataslan kelayakan mereka untuk mengambil pekerja baharu selama dua tahun Persatuan Keluarga dan Majikan Antarabangsa Taiwan mengesahkan suami kepada pembantu rumah itu menetap di Indonesia, dan mereka akan menghantar bayi tersebut kepadanya. Sementara itu, keluarga berkenaan dilaporkan merancang untuk terus mengupah pembantu rumah tersebut bekerja dengan mereka. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube