suria

Berang ditegur ketika ‘ajar’ anak, lelaki tikam adik ipar bertubi-tubi

Perasaan marah boleh mendorong seseorang melakukan tindakan di luar kawalan. -Gambar Agensi

SEORANG lelaki berusia 53 tahun ditahan polis kerana didakwa menikam adik iparnya sendiri selepas kedua-duanya berperang mulut.

Kejadian dilaporkan berlaku di kediaman mangsa di Maros, Sulawesi Selatan pada Selasa lalu.

Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Lau, Ipda Fajar, insiden bermula apabila mangsa yang dikenali sebagai Syarifuddin, 35, menegur suspek yang sedang memarahi dan memukul anaknya.

Teguran tersebut membangkitkan kemarahan suspek yang kemudian bertindak menikam mangsa menggunakan senjata tajam berupa badik (keris).

"Suspek tidak melawan ketika ditahan di rumahnya. Mereka adalah adik-beradik ipar," kata Fajar.

Akibat serangan suspek, mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Wahidin di Makassar, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan terdapat empat kesan tikaman dikesan pada tubuh mangsa iaitu di dada, punggung, siku, dan perut.

Tambah Fajar, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan. -Agensi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain