KETERUJAAN memiliki kekasih gelap berakhir tragedi. Begitulah kisahnya apabila seorang lelaki sanggup membunuh dan melupuskan mayat teman wanita bagi mengelakkan rahsia hubungan sulitnya diketahui isteri. Namun pekung yang cuba ditutup tetap terbongkar apabila mayat mangsa ditemukan oleh penduduk tempatan di sebuah kebun sekitar Lansak, Uthai Thani, Thailand. Mayat mangsa dilihat mempunyai kesan jerutan pada lehernya menandakan mangsa berkemungkinan dicekik oleh suspek, manakala kaki dan tangannya turut diikat. Suspek berjaya ditangkap apabila seorang penduduk melaporkan melihat kelibat individu lelaki memandu sebuah van bersama mangsa di kawasan berdekatan sebelum penemuan mayat dibuat. Menurut jurucakap polis tempatan, suspek dikenali sebagai Sangwian Rodchan, 52, ditahan di sebuah bilik sewa sekitar Bangkok, Thailand sebelum dia mengaku bersalah membunuh mangsa yang berasal dari Laos. Ketika disoal siasat, suspek mendedahkan mangsa mengugut untuk membongkar hubungan sulit mereka kepada isterinya. "Mereka kemudian bertengkar dan apabila ketegangan memuncak, suspek mencekik leher mangsa sehingga mati. "Si isteri hanya mengetahui mengenai skandal suaminya pada hari suspek ditahan. "Suspek didakwa dengan tuduhan membunuh dan bakal berdepan hukuman mati," ujar jurucakap polis. - Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube