suria

Kerani hamil 7 bulan dakwa pegawai atasan tak beri kebenaran ke hospital ketika sakit teruk, akhirnya bayi meninggal dunia

Wanita hamil perlu menjaga kesihatan agar bayi yang akan dilahirkannya berada dalam keadaan sihat. -Gambar hiasan

SEORANG kakitangan kerajaan berusia 26 tahun kehilangan bayinya yang berusia tujuh bulan dalam kandungan selepas didakwa tidak dibenarkan ke hospital untuk mendapatlan rawatan.

Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Kendrapara, India.

Menurut wanita tersebut, dia mengalami tekanan sejak tiga tahun lalu ketika berkhidmat sebagai kerani di sebuah agensi pembangunan kanak-kanak.

"Saya telah diseksa oleh seorang pegawai sejak tiga tahun lalu. Gangguan itu meningkat selepas saya hamil.

"Saya terpaksa menghadapi banyak masalah, tetapi saya masih bekerja di sana," kata wanita yang dikenali sebagai Priyadarshini.

Ujarnya, pada hari kejadian, dia mengalami kesakitan perut yang teruk ketika sedang bekerja di pejabat.

Dia kemudian meminta pegawai tersebut dan kakitangan lain untuk membawanya ke hospital. Bagaimanapun, pegawai berkenaan tidak mempedulikan permintaannya.

Priyadarshini akhirnya dihantar ke hospital oleh ahli keluarganya, namun kemudian dimaklumkan oleh doktor bahawa bayi dalam kandungannya tidak dapat diselamatkan.

Kesal dengan apa yang berlaku, Priyadarshini membuat aduan kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan keadilan.

Polis memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung kes yang menimpa wanita berkenaan. -Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain