SEORANG pembantu rumah warga Indonesia berusia 25 tahun ditemui mati di kawasan air terjun Waterfall Bay Park, Hong Kong, dipercayai dibunuh sebelum lemas. Kejadian dilaporkan berlaku pada 28 Oktober lalu, lapor media tempatan. Mayat pembantu rumah itu ditemui penduduk berhampiran dan dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Bedah siasat awal menunjukkan kepala mangsa telah dipukul objek keras sebelum dia mati akibat lemas. Polis berkata, mangsa tiba di air terjun itu bersama seorang lelaki dengan menaiki teksi kira-kira pukul 11 malam Ahad, dan pasangan tersebut telah pergi ke puncak air terjun. Sekitar 30 hingga 40 minit kemudian, lelaki tersebut meninggalkan tempat kejadian tergesa-gesa dengan menaiki teksi. Pihak berkuasa dapat mengenal pasti suspek lelaki dan segera ke rumahnya di Ap Lei Chau. Namun suspek bersama isterinya telah melarikan diri ke tanah besar China. Pasangan tersebut berjaya ditahan ketika mereka kembali ke Hong Kong. Suspek yang merupakan seorang lelaki warga Britain berusia 34 tahun menghadapi pertuduhan membunuh, manakala isteri yang merupakan warga tempatan berusia 36 tahun pula dituduh bersubahat. Laporan yang memetik sumber mengatakan mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan suspek. Namun polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti sejauh mana hubungan suspek dan mangsa. Suspek dan isterinya kini ditahan sementara menunggu siasatan. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube